Sabtu, 9 Januari 2010

KRITIKAN DAN KELEMAHAN TERHADAP TEORI JEAN PIAGET

KRITIKAN DAN KELEMAHAN TERHADAP TEORI JEAN PIAGET

Teori Perkembangan Kognitif Piaget telah mendapat perhatian meluas dalam bidang Psikologi sejak kajiannya dikemukakan. Kajian Piaget menerangkan peringkat-peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak dan proses pemikiran berasaskan perkembangan skema. Namun, teori dan kajiannya tetap menerima kritikan terutama yang berkaitan dengan kelemahan teori dan metodologi yang digunakan. Antara kelemahan yang boleh dikesan dalam pengaplikasian teori ini ialah seperti:


1. Ketidakjelasan Struktur, Proses, Fungsi Kognitif.

Dari segi kelemahan teori, pengkritik mahu menyatakan bahawa teori Paiget sebenarnya tidak mampu menerangkan struktur, proses dan fungsi kognitif dengan jelas. Ada pengkritik yang mempertikaikan kebenaran wujudnya empat peringkat perkembangan kognitif yang disarankan oleh Piaget (Gelman dan Baillargeon, 1983). Mereka menyatakan bahawa sekiranya kanak-kanak melalui setiap peringkat perkembangan kognitif berasaskan set operasi yang khusus, maka apabila kanak-kanak tersebut berjaya memahirkan set operasi tertentu, mereka sepatutnya juga dapat menyelesaikan semua masalah yang memerlukan set operasi yang sama.

Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menunjukkan kemampuan pemuliharaan iaitu yang terdapat pada tahap operasi konkrit, maka berdasarkan teori Piaget, dia sepatutnya dapat menunjukkan kemampuan pemuliharaannya dalam angka dan berat pada masa yang sama. Namun, dalam kajian yang dilakukan oleh Klausmeier dan Sipple (1982) menunjukkan keadaan yang berbeza di mana kanak-kanak sentiasa menunjukkan kemampuan pemuliharaan berat lebih lewat daripada pemuliharaan angka. Keadaan ini adalah bercanggah dengan teori Piaget.


2. Penggunaan Kaedah Klinikal Yang Tidak Sesuai Dan Berasas

Dari segi metodologi juga, pengkritik mempertikaikan kaedah klinikal yang digunakan dalam kajian Piaget di mana kajian dengan kaedah klinikal sukar untuk diulang. Oleh itu, kesahihannya adalah diragui. Pengkritik juga menuduh Piaget membuat generalisasi daripada sampel-sampel yang saiznya terlalu kecil dan tidak menepati piawaian.


3. Pengabaian Pengaplikasian Teori Terhadap Golongan Istimewa (Cacat)

Walaupun dari segi prinsip asas teori piaget menampakkan nilai keberkesanannya dalam kehidupan manusia terutamanya yang berhubungkait dengan kognitif, namun teori ini secara tersiratnya mengetepikan kewujudan golongan yamg mengalami masalah kesihatan. Masalah kesihatan tersebut adalah merangkumi kecacatan mental mahupun fizikal. Oleh yang demikian, Jean Piaget dalam hal ini, tidak mampu menjelaskan kesemua elemen tersebut secara logik dan ilmiah.

0 comments: