Rabu, 29 Julai 2009

Syarat Bergelar Seorang 'Pejaya'

1.0 PENDAHULUAN

Secara umumnya, buku psikologi kejayaan hasil tulisan Ainon Mohd ini merupakan satu karya motivasi yang cuba menjelaskan tentang konsep sebenar ”kejayaan”. Penulis berusaha sedaya upaya dengan menggunakan pelbagai pendekatan psikologi untuk membuka minda mana-mana individu yang berazam tinggi untuk bergelar sebagai seorang pejaya. Tidak kira siapa individu itu sekalipun,apakah bidang yang ingin diceburinya, ataupun apakah kelayakan yang dimilikinya, semuanya mempunyai petunjuk, formula serta bukti bagaimana seseorang individu itu dapat mencipta kerjaya sekaligus memperoleh kejayaan dalam kerjaya mahupun dalam kehidupan.

Ringkasnya, terdapat 17 syarat utama dan penting yang mesti dilaksanakan oleh seseorang individu untuk melayakkan diri mereka bergelar seorang pejaya. Dan apa yang lebih penting lagi untuk difahami adalah kesemua kriteria pejaya tersebut tidak mempunyai perkaitan atau hubungan langsung dengan kecemerlangan dalam akademik yang dicapai sewaktu di alam persekolahan mahupun di universiti. Justeru, seseorang itu seharusnya perlu memberikan dirinya ruang dan peluang untuk mengorak langkah menuju kejayaan. Selain itu, individu dalam usaha meniti tangga kejayaan juga, perlulah sentiasa bersikap positif terhadap diri sendiri agar segala rintangan serta cabaran yang datang mampu dihadapi dengan penuh kekuatan intelek, emosi rohani dan jasmani.

Antara syarat-syarat yang dimaksudkan bagi bergelar seorang pejaya adalah seperti membina konsep diri, estim diri, karisma, efikasi dan banyak lagi yang akan dijelaskan dalam bab yang seterusnya dalam ulasan artikel ini. Sementara itu, antara contoh individu yang berjaya mencipta kerjaya dalam bidang masing-masing adalah seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Prof Diraja Ungku Aziz, Encik Ramly Mokni, Thomas Edison, Albert Einstein, dan ramai lagi yang mana kesemua mereka pernah merasai erti kegagalan dan ketidaksempurnaan semasa di alam persekolahan dan universiti.



2.0 SYARAT-SYARAT BERGELAR SEORANG PEJAYA

2.1 KONSEP DIRI

Pengarang dalam buku psikologi kejayaan ini telah mengenal pasti bahawa salah satu ciri penting untuk menjadi seorang pejaya ialah pembinaan ’konsep diri’. Ini bermakna, konsep diri seperti yang diperkatakan pakar psikologi sememangnya mempunyai pengaruh yang besar dalam proses mencipta kejayaan. Berdasarkan kajian, individu yang memiliki konsep diri positif dianggap sebagai orang yang akan berjaya. Manakala individu yang tidak memiliki konsep sedemikian pula adalah sebaliknya. Namun demikian, masih terdapat kekeliruan tentang sebab-musabab berkenaan kesignifikanan antara kejayaan dengan konsep diri. Adakah kejayaan yang membentuk konsep diri ataupun konsep diri yang berperanan sebagai pencetus kejayaan. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa konsep diri berfungsi sebagai pemula kepada kejayaan seseorang individu. Bagaimana mungkin seseorang individu itu akan bertingkahlaku dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidangnya jika tanggapan terhadap diri adalah negatif sehingga mengurangkan semangat dan motivasi untuk menuju ke puncak kejayaan. Konsep diri seseorang individu itu umumnya, terbahagi kepada empat iaitu konsep diri jasmaniah, konsep diri sosial, konsep diri emosi, dan konsep diri intelektual.

2.2 ESTIM DIRI

Satu istilah yang juga merupakan syarat kepada seorang bergelar pejaya ialah Estim. Estim adalah sebahagian unsur daripada konsep diri seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Estim bermaksud suatu perasaan yang disedari atau dirasai berkenaan dengan nilai-nilai yang ada pada dirinya. Dalam erti kata yang lain estim menerangkan tentang penerimaan perasaan seseorang individu itu terhadap dirinya samada ianya bersifat positif atau negatif. Individu yang bersifat positif akan merasa seronok terhadap dirinya. Individu seperti ini akan berpeluang mencipta kemajuan dalam hidup mereka walaupun menghadapi pelbagai kegagalan seperti tomahan dan kesilapan. Ianya sangat berkait rapat dengan nilai suatu kejayaan. Hal ini adalah kerana estim diri yang positif secara tidak langsung bertindak memotivasikan diri seseorang individu itu untuk membina keyakinan, keazaman, keberanian serta kekuatan untuk berjaya dalam sesuatu bidang. Sebaliknya bagi individu yang memiliki estim rendah menurut pakar psikologi, Prof Zimbordo, peluang untuk menikmati sesuatu kejayaan juga adalah terlalu rendah akibat daripda pembentukan sikap yang negatif terhadap diri seperti takut, malu, resah, gugup dan sebagainya yang sememangnya menjadi lawan kepada sikap dan personaliti seorang pejaya.

2.3 ORIENTASI WAKTU

Orientasi waktu memainkan peranan yang penting dalam hidup seseorang individu yang berhasrat besar untuk bergelar seorang pejaya. Perbincangan terhadap teori orientasi waktu ini adalah bertitik tolak daripada kajian yang telah dijalankan oleh sejumlah pakar psikologi terhadap minda kelas menengah dan kelas bawahan. Tujuan kajian tersebut dijalankan adalah untuk mengetahui samada wujud perbezaan orientasi waktu antara kedua-dua golongan tersebut. Hasilnya, dapatan kajian membuktikan sememangnya wujud orientasi waktu antara golongan menengah dengan kelas bawahan. Kelas menengah dikatakan sebagai mereka ataupun individu yang memiliki orientasi waktu masa depan. Manakala kelas bawahan pula dikategorikan sebagai mereka yang memiliki orientasi masa kini. Paradigma golongan berorientasi masa depan ini mengganggap bahawa kehidupan di masa hadapan adalah sangat penting. Mereka berfikiran kehidupan masa lalu dan masa kini sebagai sesuatu yang tidak utama dan kurang berkesan. Justeru, golongan ini sentiasa memanfaatkan masa sekarang dengan sebaik-baiknya seperti belajar bersungguh-sungguh,bekerja kuat, menabung, berjimat cermat dan sebagainya dengan harapan akan menikmati kehidupan masa hadapan yang cerah dan lebih berjaya. Sementara itu, orientasi masa kini pula merupakan golongan individu yang memandang masa hadapan sebagai tiada nilai. Mereka tidak berwawasan, bermatlamat, dan lebih mementingkan kepuasan masa sekarang. Disebabkan itu, mereka mempunyai sifat seperti tidak suka belajar, tidak suka menabung dan selalu bersuka ria. Sifat-sifat sedemikian adalah mustahil untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

2.4 MENANGGUHKAN KEPUASAN

Syarat berikutnya, yang harus difahami oleh seseorang individu untuk mengejar kejayaan dalam kerjaya ialah kesanggupan ’menangguhkan kepuasan’. Sikap dan tingkah laku sedemikian sebenarnya mencerminkan ciri dan personaliti seorang pejaya. Hal ini kerana, seseorang individu itu mempunyai satu daya upaya dan kekuatan diri yang tinggi untuk meninggalkan kepuasan hari ini semata-mata mahu menikmati kepuasan yang berlipat kali ganda pada masa mendatang. Dengan kata lain, kejayaan yang lebih besar pasti akan dicapai di masa akan datang hasil daripada menangguhkan pelbagai kepuasan yang berupa keseronokan dan kelapangan pada masa sekarang. Antara ujian yang sinonim dengan jenis tingkahlaku menangguh kepuasan ini ialah ujian ’gula-gula getah’ yang dijalankan oleh Walter Mischel dari Universiti Stanford pada tahun 60-an. Dapatan kajian menunjukkan kanak-kanak yang sanggup menangguhkan kepuasan sebagai mereka yang memiliki sifat-sifat seperti tabah,cekal,berdaya usaha,bertekad dan mempunyai kemahiran sosial yang tinggi. Dan ciri-ciri inilah yang akan menjamin seseorang itu untuk berjaya pada masa akan datang.

2.5 SIKAP OPTIMIS

Impian untuk bergelar seorang pejaya tidak akan tercapai jika sekiranya seseorang individu itu tidak mempunyai sikap optimis. Kehidupan manusia sememangnya terlalu kompleks dan bersifat kompetetif. Kehidupan yang sebegini selalunya akan menjamin kepada berlakunya pelbagai bentuk kesilapan dan kegagalan. Lantaran, seseorang individu itu akan cuba menjelaskan punca-punca sesuatu peristiwa itu berlaku. Bagi menjelaskan peristiwa tersebut, individu yang berkaitan akan beratribusi untuk mencari apakah faktor penyebab kepada kesilapan atau kegagalan dalam peristiwa tersebut. Dalam hal ini, keadaan akan memperlihatkan dua situasi iaitu situasi individu yang bersifat lokus internal dan individu yang bersifat lokus ekxternal. Individu yang bersifat lokus internal akan meyalahkan diri sendiri. Manakala yang bersifat lokus eksternal pula lebih suka menuding jari ke arah orang lain atau objek lain akibat daripda kesilapan yang dilakukannya. Dari aspek kerjaya, individu yang bersifat lokus internal akan mudah mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang berbanding dengan individu yang bersifat lokus eksternal. Hal ini kerana, perbezaan sikap dan peribadi kedua-dua jenis tingkah laku tersebut iaitu sikap positif dan negatif yang akan berperanan menentukan seseorang itu berjaya atau kecundang dalam bidang yang diceburi. Antara contoh kajian yang berhubungkait dengan sikap optimis ialah kajian yang dilakukan oleh Peterson dan rakan-rakannya di Universiti Harvard pada tahun 1939-1944.

2.6 PEMANTAUAN DIRI

Sememangnya tidak dinafikan bahawa personaliti mempunyai hubungan yang signifikan dengan kejayaan. Oleh itu, salah satu ciri personaliti yang perlu diketahui oleh seorang bakal pejaya ialah apa yang dinamakan sebagai ’pemantauan diri’ atau ’self-monitoring’. Sifat personaliti ini merujuk kepada perbuatan menukar-nukar tingkah laku mengikut keadaan yang tertentu. Ianya disesuaikan dengan pepatah Melayu ”masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”. Pemantauan diri terbahagi kepada dua iaitu diri awam dan diri sebenar. Diri awam adalah diri yang umum dipamerkan kepada khalayak yang tidak dikenali. Kebiasaanya watak ini wujud dalam diri seorang ahli politik dan pelakon. Perkaitan pemantauan diri dengan kejayaan adalah diukur melalui kekerapan seseorang individu itu memantau dirinya. Mereka yang kerap memantau diri lazimnya akan cepat berjaya berbanding mereka yang tidak berbuat demikian. Kepandaian seseorang individu untuk memantau diri menunjukkan kebolehan dan kebijaksanaan mereka untuk bertingkahlaku positif dalam pelbagai situasi. Akibatnya, mereka mendapat lebih kepercayaan dan jaminan untuk dinaikkan pangkat dan akhirnya mencipta kejayaan.

2.7 EFIKASI

Salah satu faktor penyebab kepada pencapaian kejayaan seseorang individu itu ialah Efikasi. Efikasi ialah keupayaan seseorang itu melakukan sesuatu perkara atau tugas hingga ke tahap tertentu. Ianya melibatkan persoalan kepercayaan dan keyakinan yang ada pada diri seseorang itu bahawa dia mampu untuk mencapai sesuatu yang perkara atau tugas dengan baik dan jayanya. Sebagai contoh, seseorang itu berefikasi untuk menyiapkan tugasannya sebelum kuliah pada hari esok. Tekad berserta azam yang bersungguh-sungguh mengakibatkan individu tersebut berjaya menyelesaikan tugasan tersebut dengan baik dan kemas. Albert Bandura berpendapat bahawa keyakinan yang dimiliki oleh seseorang itu pasti akan membuahkan benih kejayaan. Walaubagaimanapun, tahap efikasi seseorang individu itu adalah berbeza-beza mengikut lapangan tugas dan kerjaya.

2.8 DORONGAN DALAMAN

Syarat bagi begelar seorang pejaya yang seterusnya ialah adanya dorongan dari dalam diri. Pakar-pakar psikologi beranggapan bahawa setiap manusia mencipta skrip kehidupan masing-masing. S.S Tomkins berpendapat skrip kehidupan itu terbahagi kepada dua iaitu skrip komitmen dan skrip nuklear. Dan antara kedua-dua skrip tersebut dikatakan bahawa skrip komitmenlah yang akan berpeluang mencapai kejayaan berbanding skrip nuklear. Hal ini disebabkan perbezaan personaliti atau peribadi yang wujud antara kedua-dua jenis skrip tersebut. Seseorang yang mempunyai skrip komitmen dianggap sebagai seorang yang objektif dan bermatlamat, gigih, tabah dan bekerja kuat kerana dorongan untuk mencapai cita-cita dan impian yang diidamkan.


2.9 PENAMPILAN

Dari aspek luaran, penampilan menyumbang besar kepada proses mencipta kejayaan dan kemajuan dalam kerjaya seseorang individu. Hal ini kerana, penampilan merupakan satu elemen yang berkuasa dan mampu menzahirkan daya pengaruh yang tersendiri terhadap sikap, pemikiran serta tingkah laku individu lain. Oleh itu, penampilan turut memainkan peranan yang penting dalam usaha menuju kejayaan yang diimpikan. Pakar-pakar psikologi sosial telah mengkategorikan ketampanan ataupun kejelitaan kepada dua iaitu ketampanan fizikal dan ketampanan sosial. Kedua-dua jenis ketampanan tersebut dilihat sebagai mempunyai daya pengaruhnya terhadap persepsi individu lain. Apabila seseorang individu itu memiliki penampilan baik, kemas, sihat, bersemangat, dan berkarisma, maka sudah tentulah peluang untuk individu tersebut menjalin hubungan mesra dan berkesan dengan orang lain akan berjalan lancar. Komunikasi yang jelas dan mesra ini secara tidak langsung akan menaikkan imej dan kuasa individu dan seterusnya mudah baginya untuk mencipta kejayaan dalam kerjaya yang dipilih. Antara kajian berkaitan penampilan yang telah dijalankan ialah kajian yang dilakukan oleh Profesor S. Chaiken pada tahun 1979.

2.10 KARISMA

Antara ciri lain seorang pejaya yang turut menjadi ciri personaliti kepada seorang pemimpin ialah karisma. Karisma sering dikaitkan dengan pemimpin politik yang dilihat sebagai golongan yang mempunyai daya karismatik. Akan tetapi, ramai juga individu lain dalam pelbagai lapangan profesion seperti usahawan dan peguam yang turut memiliki karisma sehingga membantu mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Karisma adalah sejenis kekuatan peribadi yang sangat berharga. Karisma mampu mendorong individu lain mencipta kejayaan hanya dengan melihat wajah serta penampilan individu yang berkarisma tersebut. Ianya mampu membentuk sikap, pemikiran dan tingkah laku individu lain untuk bersifat positif dalam setiap perkara. Bagaimana mungkin seorang itu bergelar pejaya yang agung dalam kehidupannya ataupun dalam bidangnya jika sekiranya pejaya tersebut memiliki daya penampilan yang agak lemah, kekok dan kurang bermaya. Oleh itu, seseorang individu harus mempelajari dan mengamalkan karisma dalam kehidupan kendirinya untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya atau hidup.

2.11 LAIN-LAIN

Kesemua ciri di atas cuba memberikan individu penjelasan, pemahaman dan petunjuk untuk mencapai kejayaan di mana-mana sahaja lapangan kerjaya yang diceburi. Walaubagaimanapun terdapat juga syarat-syarat lain yang perlu diambil perhatian bagi memantapkan serta mengukuhkan lagi kekuatan empayar yang dibina oleh seorang pejaya. Syarat-syarat tersebut merangkumi Kreativiti, Ganjaran, Kemahiran Menyelesaikan Masalah, Psikologi Ketua, Daya Pengaruh, Menjadi Ketua Yang Berjaya dan Tanggapan Terhadap Konsep ”Kesalahan”.

Ketujuh-tujuh syarat tersebut adalah penting dan mesti dilaksanakan kerana setiap satu daripadanya mempunyai nilai dan kesan psikologi yang ketara dan berkesan kepada seseorang indivdu. Malah, syarat-syarat tersebut juga sudah cukup untuk membuahkan kejayaan tanpa melihat kepada sepuluh syarat di atas dengan syarat ianya dilakukan secara bersunguh-sungguh, berdisiplin, jujur dan berterusan. Untuk sampai ke sebuah Istana yang dipisahkan dengan jurang dalam yang mana di dalam Istana tersebut menjanjikan bermacam-macam keistimewaan, kesenangan dan kehebatan, seorang itu haruslah tahu bagaimanakah cara untuk membina sebuah jambatan, dan seterusnya memanfaatkan jambatan tersebut untuk mencapai niat yang dikejar. Begitulah perumpamaannya dengan seorang pejaya dan erti sebuah kejayaan. Seorang pejaya harus tahu jenis-jenis syarat yang diperlukan bagi membolehkannya berjaya.

3.0 KRITIKAN TERHADAP IDEA

Sekadar mengupas isi kandungan buku psikologi kejayaan, saya merasakan perlunya beberapa kritikan membina ditujukan kepada isi kandungan buku tersebut. Setelah membaca dan menelaah segala syarat untuk mencapai kejayaan seperti yang dinyatakan oleh saudara Ainon Mohd, terdapat beberapa isi utama yang sememangnya agak mengelirukan para pembaca. Isi utama yang dimaksudkan ialah sikap optimis dan halangan dalaman. Berdasarkan penelitian saya, kedua-dua syarat tersebut adalah sama dari segi isi utama mahupun cara penyampaian. Kedua-dua syarat tersebut menekankan fungsi Lokus. Syarat-syarat ini sebenarnya tidak perlu berdiri sebagai kriteria untuk bergelar seorang pejaya dan cuma perlu menggunakan salah satu daripada dua di atas sebagai syarat utama.

Bayangkan bagaimanakah seorang usahawan yang dahagakan kejayaan dalam perniagaannya dibimbing oleh seorang konsultan yang mempunyai dua identiti pejaya. Usahawan tersebut perlu mengikut kedua-dua identiti pejaya itu tanpa perlu mempersoalkan mengapa konsultan tersebut tidak fokus pada satu identiti sahaja. Hal ini secara langsung akan menyekat jalan permulaan usahawan tersebut untuk berjaya kerana tidak faham dan bingung akan apa yang cuba disampaikan oleh konsultan.

Oleh itu, pada saya adalah tidak perlu sikap optimis ataupun halangan dari dalam itu dianggap sebagai suatu syarat untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya, pilihlah sahaja salah satu daripada keduanya sebagai pembimbing tepat yang pasti dan pasti akan memandu kita menempuh liku-liku perjalanan menuju ke puncak kejayaan dalam kerjaya hidup. Untuk menjadi seorang benar-benar berjaya, seorang individu itu seharusnya perlu juga bersifat objektif, fokus, dan tetap pendirian agar kehidupannya di masa akan datang terjamin daripada sebarang bentuk kekeliruan yang menjadi asas kepada kesilapan dan kegagalan.



4.0 KESIMPULAN

Individu yang mahu berjaya dalam bidang atau pun kerjaya yang ditempuhi merupakan mereka yang sebenarnya sudahpun melakukan kesemua syarat yang telah dijelaskan sebelum ini. Justeru, individu yang masih belum merasai erti sebuah kejayaan dan sering sahaja mengalami kesilapan serta kegagalan dalam hidup mestilah memahami dan melaksanakan kesemua syarat yang dimaksudkan agar gelombang perubahan bisa tiba memusnahkan kemarau kekecewaan sekaligus menuntun menuju era kegemilangan dan kejayaan dalam kehidupan.

Sikap, pemikiran dan perlakuan yang positif mesti dipupuk dalam diri seseorang individu sejak awal lagi bagi memastikan dirinya mampu menyelesaikan pelbagai masalah serta cabaran yang datang menggunung. Semangat yang kental, bermatlamat, sabar, tabah, jujur, dan tidak mudah mengalah juga harus dimiliki agar dirinya kebal dari serangan luar dan dalam yang mampu menggagalkan impiannya untuk bergelar seorang pejaya.

Akhir sekali, saya melahirkan rasa kagum kepada penulis buku Psikologi Kejayaan ini iaitu saudara Ainon Mohd kerana berjaya merangka, menyusun sekaligus menghasilkan sebuah karya motivasi yang penuh dengan idea-idea berkesan ke arah menuju destinasi pejaya merentasi seribu kegagalan. Walaupun, terdapat beberapa pertentangan idea utama yang saya telah sebutkan dalam sub topik sebelum ini, namun kebijaksanaan penulis untuk menyelitkan contoh-contoh kajian,serta tokoh-tokoh psikologi, memberikan keyakinan kepada para pembaca bahawa buku Psikologi Kejayaan ini adalah sebuah karya motivasi yang mampu menyuntik semangat akal dan tenaga semua individu untuk bergelar seorang pejaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti.

0 comments: